Aspek Keselamatan Di Sekolah Perlu Dipertingkat

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan sekolah digesa mengutamakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi meningkatkan aspek keselamatan di sekolah yang dilihat masih boleh diperbaiki.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia termasuk mengamalkan konsep pengenalpastian bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

“Penerapan amalan KKP yang baik akan memastikan pihak sekolah, antara lain, meletakkan peti pertolongan kecemasan di tempat strategik manakala kakitangan sekolah mempunyai kemahiran memberi bantuan awal ketika kecemasan dan tahu menggunakan alat pemadam api dengan betul,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berharap lebih banyak sekolah menyertai program ‘KKP di Sekolah’ untuk membantu meningkatkan kesedaran tentang aspek keselamatan dan kesihatan.

Menurutnya, lebih 50 sekolah sehingga kini menyertai program itu yang berlangsung dengan kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan sejak 2015. – BERNAMA

Loading...