ASEAN Perlu Jelas, Tegas Dalam Menangani Masalah Dadah

LANGKAWI – ASEAN perlu mempunyai hala tuju yang jelas, tindakan kolektif dan pendirian tegas dalam menangani masalah dadah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata liberalisasi perdagangan di rantau ini bukan sahaja akan membawa kemakmuran tetapi juga peluang kepada sindiket dadah antarabangsa dan jenayah rentas sempadan untuk memperluas operasi mereka.

“Semua pihak perlu sedar akan impak integrasi ekonomi serantau terhadap situasi dadah di rantau ini, sisi hitam perdagangan antarabangsa,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN Mengenai Dadah ke-4 di sini, hari ini.

Katanya kapasiti tenaga kerja dalam pencegahan penyalahgunaan dadah dan rawatan merupakan satu daripada bidang yang perlu diperkukuhkan untuk meningkatkan usaha dan keberhasilan dalam mengurangkan permintaan terhadap dadah.

“Usaha-usaha pencegahan perlu diutamakan dan fokus… peruntukan bagi pembangunan tenaga kerja pencegahan dan rawatan amat penting,” katanya.

Ahmad Zahid berkata mengguna pakai dasar berasaskan bukti dan pelbagai langkah serta intervensi pencegahan dan rawatan terbukti berkesan secara saintifik merupakan cabaran bagi ASEAN.

Beliau berkata dapatan-dapatan penyelidikan tidak diterjemahkan kepada dasar dan amalan yang menyebabkan amalan lama terus diulangi walaupun keberhasilannya mengecewakan.

“Untuk mendapatkan hasil berbeza, kita perlu berani membuat perubahan. Kita perlu terus berkongsi pengetahuan, pengalaman, amalan terbaik dan hasil penyelidikan,” katanya.

Menurutnya, usahasama dan kerjasama rentas sempadan antara negara anggota ASEAN perlu dipertingkat menerusi mekanisme serantau yang diperhalusi secara jelas.

“Selain daripada itu, kita perlu turut melibatkan jiran-jiran kita seperti Jepun, China dan Australia dalam merancang dan melaksanakan strategi-strategi kita menerusi pelbagai usaha kolektif, kerana dadah tidak mengenal sempadan,” katanya. – BERNAMA

Loading...