AS Gesa Bebas Pelajar Ditahan Di Korea Utara

WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menggesa Korea Utara membebaskan pelajar kolej warga AS yang ditahan di negara itu lebih setahun yang lepas, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Pelajar Universiti Virginia, Otto Warmbier ditahan pada Januari 2016 kerana didakwa mencuri sepanduk propaganda politik di sebuah hotel. Beliau kemudian dikenakan hukuman 15 tahun kerja berat.

“Kami percaya hukuman yang dikenakan tidak adil. Dia telah melalui proses kesalahan jenayah dan ditahan lebih daripada setahun. Hukuman 15 tahun kerja berat terlalu keras untuk kesalahan yang dilakukannya,” kata jurucakap Jabatan Negara Mark Toner.

“Kami menggesa Korea Utara untuk memaafkannya, memberi pengampunan khas dan pembebasan segera atas dasar kemanusiaan. Kami juga berharap diberi kebenaran untuk berjumpa pelajar berkenaan melalui Kedutaan Sweden,” kata Toner.

Pelawat AS kerap ditahan di Korea Utara dengan tuduhan anti-negara dan jenayah yang tidak spesifik. – BERNAMA

Loading...