Arab Saudi Bina Tembok 1,000 Kilometer Halang Militan IS

430 1421230259686332861

RIYADH – Insiden serangan militan pelampau Islamic States (IS) terhadap pos kawalan sempadan di utara Arab Saudi minggu lalu yang juga membunuh pemerintah tentera bertaraf jeneral, menyebabkan kerajaan negara itu mula bertindak balas.

Sebelum ini Arab Saudi tidak mahu terlibat secara langsung dalam konflik IS, namun kejadian berdarah Ahad lalu menyebabkan pemerintah Riyadh dijangka membina tembok besar sepanjang 1,000 kilometer sebagai cara menghalang kemaraan IS.

Tembok raksasa itu menggabungkan lima lapis pagar konkrit, parit pasir jerlus, 40 buah menara pemantau, kamera khas waktu malam dan kamera radar serta tambahan 30,000 anggota pasukan pengawal di utara Arab Saudi dengan wilayah Iraq.

Rancangan pembinaan tembok itu sebenarnya pernah dibangkitkan ketika kemuncak Perang Teluk II pada 2006 dan menyaksikan rejim Presiden Iraq, Saddam Hussein ditumbangkan pasukan tentera penceroboh yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, keganasan IS yang kini menguasai sebahagian besar Syria dan Iraq serta semakin menghampiri Arab Saudi mengakibatkan kerajaan Riyadh mempercepatkan projek pembinaan tembok mega yang sudah bermula sejak September tahun lalu.

Judayyidat Ararm_3164143c
Seorang imam mengetuai solat jenazah terhadap sekumpulan anggota tentera Arab Saudi yang terbunuh dalam pertempuran di sempadan utara negara itu. – Gambar hiasan

Ketua IS, Abu Bakar Al-Baghdadi pada 15 November tahun lalu berikrar akan menyerang Arab Saudi kerana didakwa bersekongkol dengan AS selain mendakwa akan mendirikan semula pemerintahan Daulah Islamiah di bawah sistem Khalifah.

Seruan itu berjaya menarik ribuan anak muda Muslim termasuk dari Malaysia untuk berjihad bersama-sama IS tetapi niat sebenar kumpulan itu terbongkar apabila mereka mengancam memusnahkan Kaabah di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

IS juga bertindak kejam dengan menembak mati ribuan anggota polis, tentera dan orang awam selain memenggal kepala wartawan asing yang ditawan, malah menjadikan golongan wanita sebagai hamba seks untuk anggota lelaki mereka.

Selain ancaman IS di utara, Arab Saudi pada masa sama, turut membina tembok sejauh 1,600 kilometer di bahagian selatan bersempadan Yaman bagi mengekang kemaraan militan al-Qaeda yang sedang berperang dengan tentera kerajaan Sana’a.

Dalam pada itu, serangan di sempadan utara pada minggu lalu mengorbankan tiga tentera termasuk Jeneral Oudah al-Belawi, panglima pasukan sempadan utara Arab Saudi, manakala empat penceroboh juga dilaporkan maut. – Agensi