APMM Tumpaskan Cubaan Seludup Burung

ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 300 ekor burung daripada spesies terancam pada kedudukan 4.97 batu nautika di perairan Tanjung Gabang, Selangor, petang semalam.

Pengarah Maritim APMM Melaka/Negeri Sembilan Kepten Maritim Amran Daud berkata APMM menerima maklumat tentang kegiatan penyeludupan burung-burung spesies terancam di perairan Selat Melaka dan siasatan di kawasan berkenaan menemukan sebuah bot menuju keluar dari sempadan negara jiran.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota APMM, tekong bot bersama tiga orang awak-awak yang merupakan warganegara Indonesia bertindak membuang sebahagian sangkar burung tersebut ke dalam laut.

“Semua mereka yang berusia dalam lingkungan 38 hingga 55 tahun itu berjaya ditahan pada pukul 3 petang dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata petugas APMM hanya berjaya mengambil semula 279 ekor burung yang dibuang ke laut itu, namun hanya tiga ekor daripadanya masih hidup.

Amran berkata burung-burung tersebut disyaki dibawa dari Vietnam melalui jalan darat ke Thailand dan Malaysia dijadikan sebagai pusat transit sebelum diseludup masuk ke Indonesia bagi tujuan pengkomersialan.

“Semua burung daripada spesies terancam itu merupakan haiwan dilindungi di bawah Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan satu daripada spesies yang dikenal pasti merupakan burung Branjangan,” katanya.

Beliau berkata kes itu diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya dan akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Sebarang aduan dan maklumat berterusan berkaitan jenayah, kesalahan maritim atau aktiviti mencurigakan di perairan Melaka/Negeri Sembilan boleh dibuat menerusi talian hotline 06-3876804 yang beroperasi 24 jam, katanya. – BERNAMA

​​​​​​​