APMM Tahan Empat Bot Nelayan Asing

KEMAMAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat buah bot nelayan Vietnam bersama 37 awak-awak dan empat tekong ketika sedang leka menangkap ikan di Zon Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Lt Kdr Mohamad Rezal Kamal Basha berkata kesemua bot nelayan tersebut ditahan pada jarak 100 hingga 104 batu nautika dari Kuala Kemaman antara pukul 10.40 pagi sehingga 1.20 petang, semalam dalam Ops Iman, Ops Pekasa dan Ops Marikh yang dijalankan di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Kesemua bot ini telah berjaya kita tahan menerusi bot Maritim KM Gemia di empat tempat berlainan dan kedudukan mereka berada tidak jauh daripada Pulau Tioman, Pahang dan juga Pelantar minyak…mereka ini menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan berdekatan pulau dan pelantar minyak bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Selain itu juga faktor musim sotong dan juga musim perpindahan ikan ke kawasan cetek untuk bertelur menjadi salah satu faktor yang menarik minat nelayan asing menceroboh masuk ke perairan Malaysia,” katanya pada sidang media di Pangkalan Maritim Kemaman di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati dua daripada empat bot berkenaan membawa minyak diesel dan makanan untuk dibekal kepada bot-bot lain yang berada di laut dalam bagi membolehkan mereka ini berada di laut dalam tempoh yang lama.

Mohamad Rezal berkata kesemua awak-awak dan tekong yang ditahan berumur antara 19 hingga 57 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri serta dokumen atau permit yang sah bagi membolehkan mereka menangkap ikan di perairan negara daripada Jabatan Perikanan.

Selain itu pihaknya turut merampas bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM4.5 juta; 5.5 tan ikan baja bernilai RM5,000; lima tan ikan campur bernilai RM125,000, dan 17 ribu liter minyak diesel bernilai RM28,050.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.

Mohamad Rezal berkata sepanjang Ops Iman, Ops Pekasa dan Ops Marikh dijalankan bermula awal Januari sehingga Julai tahun ini, APMM berjaya membuat 33 tangkapan di Perairan Kemaman. – BERNAMA

Loading...