Anwar Guna Talian Hayat-Dapatkan Sokongan Naib Presiden AS?

KUALA LUMPUR – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyiarkan satu kenyataan ringkas dipercayai daripada Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengenai kes liwat beliau dalam laman Facebook hari ini.

Tindakan Anwar itu seolah-olah mahu menunjukkan kepada umum kononnya Naib Presiden Amerika Syarikat menyokong usaha beliau dalam rayuan kes liwat Mohd. Saiful Bukhari enam tahun lalu di Mahkamah Persekutuan.

Kenyataan ringkas Naib Presiden Amerika melalui Twitter itu berbunyi seperti berikut:

“Rayuan Anwar Ibrahim memberikan Malaysia peluang penting untuk membuat perkara yang betul dan menggalakkan keyakinan dalam demokrasi dan kehakimannya”.

(Anwar Ibrahim’s appeal gives Malaysia a vital chance to make things right and promote confidence in its democracy and judiciary. – vp).

Anwar dalam laman Facebook itu mengucapkan terima kasih kepada Joe Biden kerana menyokong beliau dalam kes berkenaan.

Media semalam melaporkan Mahkamah Persekutuan sedang menyiapkan penghakiman berhubung rayuan terakhir Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lepas.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dipetik berkata, beliau tidak dapat memberikan tarikh tepat kerana panel hakim masih menyiapkan penghakiman mereka.

Pada 7 November lalu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman berhubung rayuan kes itu selepas mendengar hujahan peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan 15 peguam termasuk tiga anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo serta peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwaan. – mynewshub.cc