Annuar Sediakan Peguam Untuk Mat Tere

KUALA LUMPUR – “Apa jua bantuan yang perlu untuk Mat Tere (Muhamad Zul Apis Baharom) sedang kita berikan termasuk peguam,” kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, Mat Tere yang ditahan polis di Kota Bharu, Kelantan semalam merupakan insan istimewa.

Justeru, katanya, beliau selaku wakil rakyat penduduk Ketereh termasuk Mat Tere, tidak mahu melihat mana-mana pihak mengambil kesempatan atas kekurangan insan tersebut.

“Semua tahu Mat Tere insan istimewa. Janganlah sesiapa ambil kesempatan atas keadaannya itu. Dia tu lurus selurus-lurusnya. Allah S.W.T takdirkan keadaan dia begitu.

“Beliau tetap mulia di sisi Allah S.W.T,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Baca: Hina TMJ: Kes Aniaya, Mat Tere Istimewa – Keluarga

Mat Tere yang berusia 29 tahun ditahan polis kerana didakwa menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi satu rakaman video yang tular di internet.

Mat Tere yang kini ditahan dijangka dibawa ke Johor Bahru, Johor untuk direman dan disiasat.

Keluarga Mat Tere bagaimanapun merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak memanjangkan kes itu kerana mendakwa pemuda berkenaan dianiayai pihak tertentu disebabkan kekurangannya.

Sepupunya, Yusrizam Ahmad menjelskan Mat Tere dikategorikan sebagai kurang cerdik dan sering menuruti apa sahaja arahan orang lain tanpa mengambil kira akibatnya. – MYNEWSHUB.CC