Anak Pengurus Perniagaan, Proksi Direman

PUTRAJAYA – Anak lelaki kepada pengurus pembangunan perniagaan sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu dan seorang individu yang dipercayai berperanan sebagai proksi direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai kira-kira RM5.4 juta.

Majistret Aida Khairuddin mengeluarkan perintah reman tersebut terhadap dua lelaki berusia 30-an di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini bermula hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan.

Semalam SPRM menahan seorang pengurus pembangunan perniagaan bersama empat anggota keluarganya serta dua individu yang dipercayai berperanan sebagai proksi dalam satu operasi khas di sekitar Terengganu dan Kuala Lumpur berkaitan siasatan penyalahgunaan kuasa dan kes rasuah membabitkan nilai RM5.4 juta.

Menurut sumber SPRM, suspek disyaki telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan kedudukannya memberi projek dan kontrak kepada beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan kepada diri dan keluarganya antara 2010 hingga 2017.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – BERNAMA