Anak Pegawai Polis Didenda RM200k Beri Penyataan Palsu

KUALA LUMPUR – Seorang anak pegawai kanan polis hari ini didenda RM200,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan memberi pernyataan palsu berhubung penjualan 50 kereta mewah, dua tahun lepas.

Hakim Azian Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Azhan Hamza, 32, seorang ahli perniagaan, selepas mendapati pembelaaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohamed Azhan membayar denda itu.

Dia didakwa memberi pernyataan palsu berhubung penjualan kereta itu melalui pengedar kereta TTDI Cars, Melinium Auto dan Sentimas Sdn Bhd kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Farid Jabar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 1.45 petang dan 6.30 petang, 16 Julai 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamad. – BERNAMA