Ambil Serius Aduan Gangguan Seksual Oleh Pekerja

KUALA LUMPUR – Majikan diminta memberi perhatian serius kepada aduan oleh pekerja mereka mengenai gangguan seksual di tempat kerja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh Tseow Suan berkata majikan perlu menyiasat perkara tersebut walaupun sesetengah kes sukar dibuktikan.

“Ambil serius aduan oleh pekerja. Saya percaya perkara seperti ini boleh berlaku di mana-mana, kepada sesiapa sahaja. Dan bila aduan dipandang remeh, saya pasti mangsa akan menderita secara senyap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum “Women In Dentistry 2018” anjuran Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA, Sungai Buloh di sini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kes gangguan seksual melibatkan seorang ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai kes tersebut, beliau berkata kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan bagi menyiasat aduan berkenaan.

Di pihak kementeriannya beliau menggesa mangsa yang terlibat menghantar emel aduan terus kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

“Beberapa mangsa telah datang kepada kita membuat aduan, kita akan lihat sejauh mana seriusnya aduan ini. Kita menggalakkan lebih ramai tampil ke hadapan, jangan takut kerana yang lain telah bersuara. Kita mula mendengarnya,” kata beliau.

Yeoh berkata isu tersebut disiasat secara adil dan menjadi tanggungjawab kepimpinan semua agensi untuk mewujudkan suasana kerja yang selamat.

Semalam, Dzulkefly berkata satu badan penyiasatan bebas yang menggabungkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensI kerajaan berkaitan ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Yeoh berkata bilangan wanita dalam industri pergigian telah menunjukkan peningkatan.

“Statistik terkini 2017 menunjukkan bahawa 68.10 peratus atau 5,877 pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDEC) adalah wanita berbanding 31.82 peratus atau 2,743 pengamal pergigian lelaki.

Data yang direkodkan menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 21.33 peratus atau 4, 844 pengamal pergigian wanita berbanding 2016, “kata beliau.

Beliau juga berkata nisbah doktor gigi-pesakit juga menunjukkan peningkatan daripada seorang doktor gigi bagi setiap 6, 436 warga pada 2012 kepada seorang doktor gigi bagi setiap 4,297 warga menjelang akhir 2016. – BERNAMA

Loading...