Alat Permainan Budak Sebar Kuman Penyakit HFMD

KUALA LUMPUR – Alat permainan kanak-kanak dikenal pasti sebagai antara punca penyebaran kuman penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang kini dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Chong Chee Keong berkata kuman penyakit itu mudah berjangkit daripada seorang kanak-kanak kepada kanak-kanak yang lain menerusi alat dan barang permainan yang diguna bersama.

“Justeru, para ibu dan pengendali tadika perlu membersihkan alat permainan, tandas dan kain lampin yang telah digunakan oleh bayi atau anak-anak mereka bagi mengelak penyakit itu daripada merebak,” kata beliau.

“Sudah tentu mereka perlu menjaga kebersihan di dalam rumah juga. Dengan andaian bahawa kanak-kanak suka bermain bersama-sama, adalah lebih baik jika ibu-ibu mengasingkan anak-anak mereka.

“Saya tahu memang sukar hendak mengasingkan kanak-kanak kerana memang sifat mereka suka bermain bersama-sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketagihan Nikotin 2018 (KLNAC2018) di sini hari ini.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini itu juga dihadiri Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata jumlah kanak-kanak dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut di Pulau Pinang meningkat kepada 1,616 kes daripada 1,555 kes yang dilaporkan pada Jumaat.

Penyakit tangan, kaki dan mulut adalah sejenis penyakit yang berpunca daripada virus yang mudah berjangkit terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan boleh merebak menerusi air liur, cecair luka dan najis.

Tanda-tanda jangkitan termasuk demam, ruam dan bintik-bintik di tapak tangan dan kaki serta ulser pada mulut dan lidah, selain jangkitan pada saluran pernafasan atas dan sesak nafas.

Chong juga berkata semua negeri mencatat peningkatan dalam jumlah kes tetapi beliau tidak memberikan perinciannya. – BERNAMA

Loading...