Alat Ganti Tiruan Motosikal Bernilai RM30,000 Disita

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 1,566 unit alat ganti motosikal tiruan jenama Honda bernilai kira-kira RM30,000 dalam satu operasi Khamis lalu.

Pemangku Pengarahnya, Firdaus Zakaria berkata rampasan dilakukan di sebuah premis di Ketereh di sini, hasil aduan pemilik cap dagangan jenama itu.

“Siasatan lanjut mendapati premis yang diusahakan seorang remaja berumur 22 tahun itu mengandungi pelbagai jenis alat ganti motosikal jenama Honda menggunakan perihal dagangan palsu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, antara barangan tiruan itu ialah kaburator, kulit enjin, pelana, soket lampu, tangki minyak dan brek.

Semua alat ganti tiruan itu disita untuk siasatan di bawah Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda melebihi RM10,000 bagi setiap unit barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau berkata premis yang baru enam bulan beroperasi itu menjalankan perniagaan secara runcit dan telah mempunyai pelanggan sendiri.

“Pemilik premis dipercayai mempromosikan barang jualan melalui media sosial seperti Facebook dengan tawaran harga murah sehingga 50 peratus lebih rendah daripada harga alat ganti tulen,” katanya.

Katanya, kes tersebut adalah yang pertama membabitkan perihal dagangan palsu alat ganti motosikal di Kelantan.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli alat ganti kenderaan kerana penggunaan barangan tiruan dikhuatiri boleh membahayakan pengguna.

“Jangan terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan. Pengguna perlu pastikan barangan menepati piawaian dan beli barangan dengan pembekal yang sah,” katanya. – BERNAMA

*Video di bawah hanya sekadar hiasan

Loading...