AKSEM Chuping Berkas Pengedar Dadah

PADANG BESAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Chuping memberkas seorang lelaki disyaki pengedar dadah di bengkel kereta di Kampung Tengku Wang Lembu, Beseri dekat sini, tengah hari semalam.

Menurut Komander AKSEM Perlis, DSP Syed Basri Syed Ali dadah yang ditemui ialah 17 gram pil Yaba bernilai RM2,700; 3.7 gram pil Eramin 5 (RM195.00) 0.7 gram syabu (RM100.00) dan 10 kilogram daun ketum (RM800.00) dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu.

Pasukan itu turut merampas kereta Toyota Camry bernilai RM100,000 yang digunakan oleh lelaki berumur 28 tahun itu yang berasal dari Kampung Kok Mak, Padang Besar, katanya kepada media di sini, hari ini.

Syed Basri berkata pasukan itu membuat pemeriksaan dan menemui daum ketum dalam bonet kereta yang didaftarkan atas nama orang lain sebelum dibawa balik ke Kompleks AKSEM Chuping dan pemeriksaan lanjut menemui dadah tersebut tersorok dalam bahagian tertentu kereta itu.

Anggota AKSEM turut menemui wang tunai berjumlah RM3,200 dan dua telefon bimbit yang dirampas untuk dijadikan bukti, katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(A) Akta Dadah Merbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun, diserahkan kepada Bahagian Narkotik Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Loading...