Padah Seks Oral Mangsa Nahas, Bekas Mekanik Terima Balasan

PUTRAJAYA – Akibat mengambil kesempatan terhadap seorang bekas guru taska, seorang bekas mekanik kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun dan sebatan 10 kali kerana melakukan seks oral terhadap mangsa yang baru kemalangan.

Perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh Noor Rizuwan Ahmad, 37, dalam sebuah kereta berhampiran Hospital Serdang, dekat sini, tiga tahun lalu.

Mangsa, 23, yang baru pulang dari kampung mengalami kecederaan selepas motosikal yang dibonceng bersama teman lelakinya terlanggar bonggol ketika melalui susur Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Puchong kira-kira pukul 5.30 pagi, 11 November 2015.

Noor Rizuwan yang melalui kawasan kemalangan menawarkan bantuan untuk menghantarnya ke hospital berkenaan menaiki keretanya.

Sebaliknya, perayu berhenti di kawasan gelap berhampiran hospital lalu melakukan seks oral terhadap mangsa yang sedang kesakitan sebelum meninggalkannya di Jabatan Kecemasan.

Teman lelakinya yang turut mengalami kecederaan, kemudian tiba dengan menunggang motosikal.

Perbuatannya itu terbalas apabila panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim menolak rayuan akhirnya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman tersebut.

Noor Rizuwan didapati bersalah melakukan seks oral ketika kedua-duanya berada dalam kereta kira-kira pukul 5.30 pagi, hari kejadian di tepi jalan Hospital Serdang.

Perayu tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail. – UTUSAN ONLINE

Loading...