AirAsia Kenalkan 2 Laluan Baru Ke Indonesia

KUALA LUMPUR – Airasia terus mengembangkan hab Johor Bahrunya dengan memperkenalkan dua laluan baharu yang menghubungkan Johor Bahru ke Jakarta serta memperkenalkan semula penerbangan Kuala Lumpur-Solo.

Ketua Komersial, Spenser Lee berkata berikutan itu, penerbangan dari Johor Baharu ke Jakarta adalah sebanyak tiga kali seminggu mulai 10 Jan, 2017, sementara penerbangan ke Solo bermula pada 17 Jan, 2017.

“Promosi tambang rendah untuk penerbangan sehala Johor Bahru-Jakarta serendah RM99, manakala penerbangan sehala Kuala Lumpur-Solo sebanyak RM149.

“Promosi tambang rendah ini boleh ditempah secara dalam talian melalui laman web AirAsia mulai sekarang hingga 13 Nov, 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata sejak tahun-tahun kebelakangan ini, AirAsia giat memperkukuh kesalinghubungannya dengan hab lain di Malaysia.

“Kami gembira untuk mengumumkan satu lagi laluan antarabangsa yang menghubungkan bukan hanya rakyat Johor, malah penduduk di kawasan selatan secara terus ke Jakarta, selain menyediakan lebih banyak laluan untuk rakyat Indonesia datang ke Malaysia,” katanya.

Lee berkata dengan jumlah penduduk kira-kira 23 juta, menjadikan Jakarta, bandar terbesar Indonesia sebagai laluan yang menguntungkan, manakala Solo, 65 kilometer dari Jakarta, menawarkan budaya Jawa.

Kumpulan AirAsia (Malaysia AirAsia dan Indonesia AirAsia) kini mengendalikan 125 penerbangan mingguan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, termasuk penerbangan domestik dan antarabangsa. – BERNAMA

Loading...