Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Alicia Amin Separuh Bogel...

ORANGNYA berwajah eksotik, tinggi lampai dan bertubuh langsing: satu resipi yang lengkap untuk...

Mara Digital Anggerik Mall...

SHAH ALAM - Kesemua 52 kios di pusat barangan teknologi maklumat Bumiputera, MARA...

BN Dan GPS Untuk...

Kajang : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan dua jawatan Timbalan Perdana...

Tuanku Zara Berangkat Ke...

TAIPING - Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan...

Aidiladha Disambut Meriah Namun Sederhana

KUALA LUMPUR – Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha dalam kesederhanaan namun meriah dengan penuh rasa kesyukuran serta semangat pengorbanan.

Cuaca baik di kebanyakan tempat pada sebelah pagi membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat hari raya berjemaah diikuti ibadah korban, yang merupakan keistimewaan Aidiladha secara bergotong-royong di masjid, surau, kampung dan kawasan perumahan.

Jalan raya di ibu negara lengang berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidiladha.

Namun Masjid Negara dipenuhi kira-kira 13,000 umat Islam termasuk warga asing memenuhi ruang untuk menunaikan solat hari raya dan mendengar khutbah yang disampaikan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Syaikh Ismail dalam khutbah Aidiladha bertajuk ‘Erti Sebuah Pengorbanan’ menyeru umat Islam untuk sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada ALLAH SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk tingkatkan ketaqwaan kepada ALLAH dan umat Islam juga harus lakukan perkara yang sama bagi mendapat keredaan Nya,” katanya.

Syaikh Ismail juga turut memuji tindakan Nabi Ibrahim yang menzahirkan sifat cinta beliau terhadap pencipta-Nya.

“Ganjaran ALLAH SWT kepada Nabi Ibrahim tiada bandingannya atas segala pengorbanan beliau kepada Allah kerana sifat taatnya,” tambahnya.

Syaikh Ismail kemudian mengakhiri khutbah dengan memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak terlibat dengan mana-mana militan pengganas.

“Kumpulan Daesh bukanlah suatu cara untuk perjuangkan agama Islam kerana ia tidak berlandaskan ajaran Islam sebenar,” katanya.

Di LANGKAWI, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Aishah, Kampung Sungai Menghulu di sini.

Keberangkatan tiba baginda berdua kira-kira 8.30 pagi disambut Pegawai Daerah dan Tanah Langkawi, Isahak Murat; Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan; pegawai kanan kerajaan dan masyarakat setempat.

Di ALOR SETAR, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah serta isteri Toh Puan Temenggong, Datuk Seri Tengku Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Zahir, di sini.

Ketibaan baginda pada 8.15 pagi disertai Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tunku Abdul Halim serta beberapa exco kerajaan negeri.

Solat diimamkan Imam Besar masjid itu, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas hadir bersama isteri, Toh Puan Majimor Shariff di Masjid Negeri di Jalan Air Itam bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.

Beliau bersama isteri yang tiba kira-kira 8.50 pagi itu disambut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Kira-kira 3,000 umat Islam Pulau Pinang menunaikan solat sunat serta mendengar khutbah bersama Abdul Rahman sebelum majlis korban diadakan di pekarangan masjid.

Sebanyak 11 ekor lembu dan empat ekor kambing sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Pulau Pinang, jemaah masjid negeri dan penduduk sekitar dikorbankan.

Di PERLIS, solat sunat Aidiladha diadakan di masjid dan surau seawal 8 pagi bagi memudahkan ibadah korban melibatkan kira-kira 1,000 ekor lembu.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail tidak menyertai solat berkenaan kerana difahamkan baginda berada di Kuala Lumpur manakala Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sedang menunaikan ibadah haji di Makkah.

Di IPOH, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah yang diimamkan imam utama masjid, Mohammad Ngifni Abdul Basir.

Ketibaan baginda pada 8.35 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan barisan exco kerajaan negeri.

Berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Sementara itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Yayasan Wakaf Turki mengadakan program ‘Qurban Untuk Ummah’, disertai kira-kira 1,000 penduduk Rohingya di Surau Al-Qomar.


Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob bersama barisan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al Azim, Bukit Palah di sini bersama ribuan umat Islam.

Walaupun cuaca mendung dan suhu agak sejuk disebabkan hujan awal pagi tadi, namun lebih 10 ekor lembu dikorbankan di perkarangan masjid sebelum daging korban diagihkan kepada orang ramai.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, yang kini sedang menunaikan ibadah haji, dalam kenyataan mengingatkan kepada semua bahawa ibadah korban menuntut setiap umat Islam melakukan pengorbanan dengan ikhlas tanpa agenda tersendiri.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 4,000 umat Islam di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini yang diimamkan Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Al-Fattani.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Sebanyak 22 ekor lembu dikorbankan di masjid itu tahun ini.

Di SEREMBAN, seramai 2,000 umat Islam menghadiri solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri di sini, yang diimamkan Pemangku Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Nidzar Nor Mohamad.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan keluarga turut hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan.

Di JOHOR BAHRU, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,500 rakyat di Masjid Pasir Pelangi di sini.

Baginda yang tiba pada 8.30 pagi itu disambut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Negeri, Datuk Abdul Rahim Ramli; Speaker Dewan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz serta barisan exco kerajaan negeri.

Imam Besar negeri, Khalid Sono mengimamkan solat sunat Aidiladha serta menyampaikan khutbah bertajuk ‘Berkorban Dengan Ikhlas’.

Di KUANTAN, ribuan umat Islam membanjiri Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad I di sini untuk menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan Mohd Khalil Mohd Zari Al-Hafiz.

Sementara itu, dalam bacaan khutbah oleh imam besar, Mohd Fadzli Mat Saman, umat Islam diseru untuk menghayati maksud pengorbanan dan bersyukur dengan nikmat yang dikecapi di negara ini.

Di KOTA BHARU, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 5,000 jemaah di Masjid Muhammadi di sini.

Baginda yang tiba 8.20 pagi diiringi Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 4,000 umat Islam di Masjid Negeri di sini.

Tinjauan Bernama di Masjid Likas, Kota Kinabalu menyaksikan ribuan umat Islam turut menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid berkenaan yang bermula kira-kira 7.30 pagi tadi.

Di SANDAKAN, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 5,000 jemaah di Masjid Kampung Tinusa, Sandakan sebelum mengunjungi rumah terbuka sempena Aidiladha Bendahari UMNO Bahagian Libaran Salzo Asa di Taman Indah Jaya.

Di SARAWAK, sambutan Hari Raya Aidiladha disambut meriah dengan solat sunat hari raya diadakan di hampir semua masjid utama.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar menunaikan solat sunat bersama warga Tentera Zon Kuching di Masjid Solahuddin Al-Ayubi, Kem Penrissen, Kuching.

Selain itu Jabatan Agama Islam Sarawak turut mengadakan solat sunat Aidiladha di Islamic Information Centre, Kuching. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori