Agong Sampaikan Watikah Pelantikan 16 Ahli MAIM

MELAKA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V malam ini berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 16 Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi sesi 2016 hingga 2018.

Seri Paduka menyampaikan watikah itu kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, yang mengetuai senarai penerima, pada Majlis Menghadap dan Merafak Sembah di Bandar Hilir di sini.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob.

Penerima lain watikah itu ialah Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Yaakub Md Amin, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Naim Abu Bakar, Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Melaka Datuk Roslan Ibrahim dan Penasihat Undang-undang Negeri Melaka Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Turut menerima watikah itu ialah Mufti Negeri Melaka Datuk Abdul Halim Tawil, Ketua Polis Melaka DCP Datuk Abd Jalil Hassan, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Malaysia Tan Sri Dr Ibrahim Lembut, Canselor UCSI University Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad dan Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob.

Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Islam Antarabangsa Prof Datuk Dr Mizan Hitam, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Zainal Abidin Jaffar, Pengurus Besar Yayasan Melaka Datuk Zaini Md Nor, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka Datuk Mohamad Saleh Ismail, Pegawai Tugas-tugas Khas MAIM Datuk Rashid Redza Md Salleh dan Setiausaha MAIM Muhammad Ikram Ibrahim juga menerima watikah itu.

Sultan Muhammad V kemudian berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam Negeri Melaka di lokasi sama dengan diiringi Mohd Khalil dan Idris.

Sultan Muhammad V dalam rangka lawatan tiga hari ke Melaka hingga esok. Ia merupakan lawatan pertama Seri Paduka sejak menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Dis lepas. – BERNAMA

Loading...