KUALA LUMPUR – Sebanyak 73 peratus atau 74 daripada 102 tapak pembinaan yang diperiksa dalam Ops Gempur di Selangor sejak 10 Feb hingga 6 Mac lalu telah diarah tutup untuk kerja-kerja pembersihan bagi memastikannya bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah yang diperiksa menerusi operasi bagi mengurangkan kes denggi itu, 87 tapak pembinaan atau 85 peratus mempunyai tempat pembiakan serangga pembawa penyakit dan kesemuanya akan didakwa.
“Kerja-kerja pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melibatkan semua agensi dalam menyiasat masalah berkaitan dan memastikan tapak pembinaan berada dalam keadaan bersih sekali gus dapat mengurangkan kes denggi.
“JKR (Jabatan Kerja Raya) sebagai agensi pelaksana projek kerajaan, saya tekanan kepada pegawai penguat kuasa projek untuk memeriksa setiap tapak supaya bersih dan tiada tempat pembiakan nyamuk.
“Walaupun jumlah kes denggi di tapak pembinaan kecil berbanding rumah kediaman tetapi kita tetap mengambil tindakan bersepadu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Aplikasi Mobile Aduan Jalan Kementerian Kerja Raya di sini hari ini.
Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan dari awal tahun ini sehingga 18 Mac mencatatkan 30,033 berbanding 21,111 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas iaitu peningkatan 8,922 kes, dengan 95 kematian dicatatkan berbanding 50 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata Pelan Transformasi Industri Pembinaan (CITP) telah dibangunkan bagi meletakkan industri pembinaan sebagai sektor yang menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Elemen asas ini dapat mengubah industri pembinaan menjadi lebih produktif, mampan, selamat berkualiti, profesional dan berdaya saing di peringkat antarabangsa dan menjadi kompetitif dalam menghadapi cabaran globalisasi,” katanya.
CITP menetapkan sasaran antaranya kadar pertumbuhan sebanyak 10 peratus setahun industri pembinaan dan meningkatkan 10 peratus bilangan kontraktor yang diiktiraf oleh badan bebas standard kesihatan dan keselamatan antarabangsa.
Mengenai isu pembinaan rumah kekal untuk menggantikan rumah yang rosak teruk bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri pada akhir tahun lepas, Fadillah berkata sehingga 23 Mac lalu, 172 rumah kekal sedang dibina iaitu 100 di Kelantan, 39 di Pahang, tujuh di Terengganu dan 26 di Perak.
“Pihak kementerian sedang berunding dengan kerajaan Kelantan untuk membangunkan semula kawasan yang terjejas banjir di negeri itu terutamanya membabitkan isu hak pemilikan tanah yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Saya harap kerja-kerja pembinaan rumah kekal ini dapat dilaksanakan dan disiapkan sebelum Ramadan ini agar mangsa banjir mendapat manfaat daripadanya,” katanya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=SxeGkEVutfs