Adik Ditemui Lemas, Gerakan Mencari Abang Diteruskan

321

KOTA KINABALU – Seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun ditemui lemas di Sungai Kuala Petagas, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, abang mangsa berusia lima tahun yang turut dilaporkan hilang selepas kedua-dua mereka terjatuh ke sungai berkenaan malam tadi, belum ditemui.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penampang, berkata kanak-kanak perempuan itu ditemui jam 6 pagi tadi tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan terjatuh oleh anggota bomba yang menjalankan kerja mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, usaha mencari abang mangsa yang masih hilang diteruskan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam tadi, dua beradik berkenaan dikatakan bermain berhampiran tebing sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka sebelum dilaporkan terjatuh dan hilang.

Ketika itu, ibu bapa kanak-kanak terbabit dilaporkan tiada di rumah kerana keluar membeli barang. – BH Online