Abdullah Puji Kerajaan Selesai Krisis Korea Utara

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi memuji kejayaan kerajaan menyelesaikan krisis diplomatik dengan Korea Utara yang berakhir dengan kepulangan sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara.

Beliau berkata kejayaan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membuat rundingan secara diplomasi dengan Pyongyang dan menamatkan ketegangan secara baik adalah detik yang amat penting bagi kedua-dua negara.

“Perdana Menteri tahu apa yang perlu dilakukan. Saya anggap ini sebagai satu usaha yang membawa kepada kebaikan dan kejayaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Ulang Tahun ke-25 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan pelancaran buku IKIM di sini hari ini.

Kesemua rakyat Malaysia itu dibenarkan berlepas dari Pyongyang pada pukul 7.45 malam semalam waktu Malaysia dan tiba di Kuala Lumpur pukul 5.03 pagi ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketegangan Malaysia dan Korea Utara timbul berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Susulan pembunuhan itu, pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia apabila tidak bersetuju dengan cara pengendalian kes itu yang menyebabkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai “persona non grata”.

Sementara itu, mengulas sambutan ulang tahun IKIM, Abdullah yang juga Pengerusi IKIM, berkata institusi itu perlu meneruskan usaha bagi mencapai kejayaan yang lebih besar dalam memberi kefahaman mengenai Islam yang tepat melalui pelbagai program dan aktiviti.

“Pada waktu ini banyak lagi kerja yang akan diusahakan. Kita akan laksanakan usaha dengan kerjasama pemimpin-pemimpin dan badan-badan berkaitan yang akan membawa kejayaan yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin berkata IKIM akan terus berusaha melestarikan tamadun negara melalui pemahaman agama yang mendalam dan menyemaikan nilai-nilai mulia agar mampu mengubah sikap dan amalan masyarakat.

Mengulas mengenai segelintir pihak yang menjalankan aktiviti yang memberi persepsi negatif dan salah faham mengenai Islam, beliau berkata golongan itu mungkin cetek kefahaman mengenai Islam.

“Mungkin pihak itu melihat agama sebagai satu komoditi untuk mendapatkan keuntungan.

“Dalam masa semua orang ingin kembali kepada agama, adakala pemikiran mereka mudah dimanipulasi kerana mereka tidak benar-benar memahami Islam. Itu adalah antara isu-isu yang warga IKIM akan beri penjelasan apabila diberi peluang,” jelasnya. – BERNAMA

Loading...