AADK Sasar Turunkan Jumlah Zon Merah Dadah

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan pengurangan daripada 87 lokasi berstatus merah dalam permasalahan dadah kepada 28 lokasi sehingga hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata tahun lepas, AADK berjaya mengurangkan jumlah lokasi berisiko tinggi itu (status merah) daripada 178 kepada 87 lokasi, hasil usaha keras pelbagai pihak.

“Daripada 178 lokasi itu, 87 masih kekal sebagai zon merah, 86 diturunkan status menjadi zon kuning manakala lima lagi zon hijau.

“Tahun ini kita sasar untuk turunkan kepada 28 zon merah, 117 zon kuning dan 33 zon hijau. Usaha pemutihan ini akan dilakukan dengan lebih berfokus berbanding menyeluruh yang tidak begitu meninggalkan kesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Semurni Kasih Ketua Pengarah AADK Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan dadah di Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah AADK Terengganu, Wan Jailani Wan Ismail.

Klasifikasi zon merah diberikan kepada sesebuah daerah yang mempunyai kriteria kes dadah melebihi 70 peratus, zon kuning (0.5 – 30 peratus) dan hijau (kurang daripada 0.5 peratus).

Selain mengurangkan jumlah lokasi berisiko tinggi, Zulkifli berkata AADK juga akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kadar pemulihan dadah daripada 55 peratus kepada 65 peratus tahun ini.

Menurut beliau, usaha ini walaupun dilihat sukar ia boleh dilakukan dengan usaha bersepadu antara keluarga, komuniti, agensi penguatkuasaan berkaitan dan syarikat korporat.

Selain itu, usaha berkenaan juga boleh memberi peluang pekerjaan kepada mereka untuk meneruskan hidup dan terus berada dalam masyarakat.

“Terdapat 160,000 kes dadah di seluruh negara dan 30,000 daripadanya melibatkan penagih.

“Oleh itu kita rasakan perlu untuk mantapkan program pencegahan seawal prasekolah supaya mereka melihat dadah sebagai bahan yang bukanlah boleh dicuba-cuba kerana tekanan rakan sebaya dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA