91 Kes Penyebaran Berita Palsu Tahun Lalu

KUALA LUMPUR – Sebanyak 91 kes berkaitan penyebaran dan penyiaran berita palsu di media sosial direkodkan pada tahun lepas, kata Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini.

Menurut kementerian itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kes telah berjaya diselesaikan dan 11 kes telah dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Kementerian itu berkata jumlah tersebut juga menyaksikan penurunan sebanyak 12.5 peratus kes berbanding tahun sebelumnya berikutan pendekatan koordinasi silang yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pelbagai agensi kerajaan untuk menangani berita palsu.

“Pada 2017,MCMC juga telah mengambil tindakan terhadap 3,721 akaun palsu yang dikenal pasti dalam pelbagai platform media sosial dan hampir 80 peratus daripada jumlah itu telah dipadam penyedia platform media sosial seperti Facebook dan Twitter,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Dr Ewon Ebin (BN-Ranau) yang ingin tahu tindakan yang diambil ke atas individu yang membuat tohmahan dan fitnah kepada pemimpin negara melalui media cetak, media eletronik serta media sosial.

Kementerian itu berkata walaupun Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 memberi jaminan tiada tapisan Internet oleh kerajaan, ia tidak bermakna mana-mana pihak bebas melakukan kesalahan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira batasan undang-undang.

“Peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta 588 boleh digunakan bagi tujuan menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan kesalahan penyebaran berita palsu, menanam perasaan kebenciandan memfitnah,” kata kementerian itu. – BERNAMA

Loading...