88 Kg Sampah Dikutip Dalam Masa Sejam Di Sungai Gombak

146

KUALA LUMPUR – Sampah seberat hampir 88 kilogram berjaya dikutip dalam tempoh satu jam oleh sekumpulan 18 sukarelawan di Sungai Gombak, di sini, semalam.

Aktiviti pembersihan menggunakan perangkap sampah sungai itu dianjurkan oleh EcoKnights, sebuah pertubuhan alam sekitar bukan berasaskan keuntungan, bertujuan untuk mendidik dan berkongsi pengetahuan mengenai keadaan sungai-sungai di kawasan bandar seperti Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Aktiviti di bawah program ‘Sungai Nadi Kehidupan’ itu dijalankan sempena sambutan Hari Sungai Sedunia yang bakal disambut pada penghujung bulan ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Md Khairi Selamat berkata aktiviti sebegini perlu diperbanyakkan supaya dapat menanam kesedaran tentang kepentingan sungai kepada orang ramai.

“Sungai yang dahulunya bersih dan jernih kini tercemar teruk dan perkara ini selalunya disebabkan oleh manusia.

“Kami berharap aktiviti ini akan menggalakkan pengguna media sosial berpengaruh yang terlibat untuk mengongsikan pengalaman ini melalui blog dan cerita serta membantu meningkatkan tahap kesedaran tentang penjagaan sungai yang lebih baik di negara ini,” katanya ketika ditemui media selepas aktiviti tersebut dijalankan.

Selain daripada mengumpul sampah, para sukarelawan turut mendalami proses pengasingan sampah untuk lebih memahami komposisi jenis sisa yang sering dibuang ke dalam sungai.


Hasil proses pengasingan, 65 peratus sampah yang ditemui ialah sisa organik, manakala bakinya terdiri daripada plastik, polistrin, kertas, tekstil dan gelas.

Sementara itu, aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi berkata semua pihak perlu memainkan peranan dengan betul dan padu supaya keluasan kempen itu dapat disampaikan dengan lebih baik.

“Penggunaan poster sudah tidak relevan dan ketinggalan, kita perlukan aktiviti yang lebih proaktif dengan melibatkan anak-anak muda datang ke sungai dan melihat dengan mata mereka sendiri.

“Jadi apabila mereka sudah nampak sampah mereka sendiri, mereka akan lebih sedar dan bertanggungjawab,” kata Syed Azmi yang merupakan sukarelawan pada program yang turut mendapat kerjasama JPS dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. – BERNAMA