8 Maut Tiga Letupan Gegar Stadium Di Afghanistan

JALALABAD – Seramai lapan orang maut manakala puluhan lain cedera selepas beberapa letupan menggegarkan sebuah stadium di timur Jalalabad, Afghanistan lewat malam tadi.

Ahli majlis wilayah, Sohrab Qaderi berkata, letupan berkenaan berlaku di stadium bola sepak yang sedang menjadi lokasi perlawanan kriket.

Menurut beliau, ia diakibatkan oleh tembakan dilancarkan dua roket yang membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 50 yang lain namun jumlah sebenar mangsa masih belum dapat dipastikan.

Jurucakap gabenor wilayah Nangarhar, Attaullah Khogyani berkata, lapan penonton terbunuh dan 43 lagi cedera dalam tiga letupan yang berlaku berturut-turut itu.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan setakat ini.

Nangarhar yang bersempadan dengan Pakistan menunjukkan peningkatan kadar keganasan sejak tahun ini, dengan serangan terbaru di pejabat akaun negeri meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa.

Minggu lalu, gabenor wilayah berkenaan terpaksa berpindah keluar selepas keadaan semakin meruncing di kawasan itu yang juga kubu kuat militan Daesh dan puak Taliban. – Reuters/BH ONLINE

Loading...