71,890 Pengundi PRK Permatang Pauh – SPR

KUALA LUMPUR – Seramai 71,890 pengundi termasuk 627 pengundi awal dan 11 pengundi tidak hadir berada dalam senarai daftar pemilih bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan media memberitahu, bilangan pengundi tersebut yang dikemas kini sehingga 1 April lalu.

“Seramai 35,137 atau 48.88 peratus pengundi terbabit adalah lelaki dan 36,753 atau 51.12 peratus merupakan pengundi wanita,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, seramai 10,455 pengundi terbabit berusia 21 hingga 29 tahun, 16,544 (30 hingga 39 tahun), 16,496 (40 hingga 49 tahun), 14,613 (50 hingga 59 tahun), 8,955 (60 hingga 69 tahun).

Turut berada dalam daftar pemilih seramai 3,688 pengundi berusia antara 70 hingga 79 tahun, 980 (80 hingga 89 tahun) dan 159 pegundi berusia 90 tahun ke atas.

Keputusan pilihan raya umum yang lalu dimenangi oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperoleh 37,090 undi menewaskan calon Barisan Nasional yang memperoleh 25,369 undi dan calon bebas 201 undi. – mynewshub.cc

Loading...