576 Terima Darjah Kebesaran Bintang & Pingat Persekutuan 2017

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2017 kepada 576 orang penerima.

Mendahului senarai penerima darjah pada istiadat pengurniaan kali ini ialah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda yang menerima Darjah Panglima Jasa Negara, membawa gelaran ‘Datuk’.

Penerima lain darjah berkenaan ialah Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Selangor, Datuk Rosni Sohar, Anggota Parlimen Sibuti, Sarawak, Ahmad Lai Bujang, Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Dalam pada itu, penerima tunggal Panglima Jasa Negara (Kehormat) yang turut membawa gelaran Datuk ialah Pengarah Daihatsu Motor Company Ltd, Datuk Shigeharu Toda.

Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada 10 orang, antaranya kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah dan Ketua Staf Markas Tentera Darat, Datuk Mohd Nazir Mami.

Seramai 33 individu menerima Darjah Johan Setia Mahkota, antaranya Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), DCP Datuk Azizan Abu Taat, Anggota Lembaga Pencegahan Jenayah, Kementerian Dalam Negeri, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Mazupi Abdul Rahman dan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Datin Nursinah Adzmi.

Seramai 103 individu menerima Darjah Kesatria Mangku Negara (KMN), 10 menerima Darjah Kesatria Setia Diraja (KSD), 147 menerima Darjah Ahli Mangku Negara (AMN), 229 menerima anugerah Pingat Pangkuan Negara (PPN), dan 35 orang menerima Darjah Bentara Setia Diraja.

Dalam pada itu dua individu meneriama Darjah Panglima Gagah Berani, iaitu Datuk Dr Leong Chee Woh dan Mad Radzi Mad Isa. – BERNAMA

Loading...