532 Kanser Payudara Dikesan Melalui Ujian Mamogram

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengesan 532 kes kanser payudara daripada sejumlah 337,524  wanita yang menjalani ujian mamogram anjuran agensi di bawah kementerian itu sehingga Jun tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata program Subsidi Ujian Mamogram yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh negara sejak Mei 2007 itu juga mendapati sejumlah 304,560 kes normal manakala 32,964 kes memerlukan pemeriksaan susulan.

“Biasanya bagi mereka yang sah menghidapi kanser ini kami cadangkan untuk mereka ke hospital yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.

“Kanser payudara masih merupakan kanser pembunuh nombor satu di Malaysia. Kesedaran wanita mengenai kepentingan pemeriksaan awal kanser payudara telah meningkat melalui ujian saringan mamogram yang dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar WomenFest Malaysia (WFM) 2017 di sini hari ini.

WFM 2017 dijadualkan berlangsung pada 28-29 Okt ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Negara (Matrade).

Acara yang julung kali diadakan itu menyasarkan seramai 50,000 pengunjung khususnya golongan wanita dengan penyertaan lebih 100 jenama terkemuka dalam produk fesyen dan kecantikan wanita  peringkat  nasional and antarabangsa. – BERNAMA