5 Termasuk Pegawai Hutan Jerantut Direman

KUANTAN – Lima termasuk Pegawai Hutan Daerah Jerantut dan isterinya ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan kegiatan pembalakan haram di Jerantut.

Tiga lagi yang direman ialah seorang renjer hutan daerah berkenaan dan pemilik serta pengurus sebuah syarikat kontraktor yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pembalakan haram tersebut yang mengakibatkan kerajaan negeri mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Tenngku Eliana Tuan Kamaruzaman setelah mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Fadly Mohd Zamri.

Peguam Hon Kai Ping mewakili semua suspek.

Kesemua suspek yang berumur 40 hingga 50 tahun itu ditahan di rumah masing-masing dan Pejabat Hutan Jerantut semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) dan Sekyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Difahamkan siasatan berkisar pada pemberian dan penerimaan rasuah agar tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap kegiatan pembalakan haram di daerah itu antara 2015 hingga tahun ini. – BERNAMA