5 Rumah, Kilang Ikan Musnah Dalam Kebakaran Di Labuan

LABUAN – Tujuh belas keluarga hilang tempat tinggal setelah lima buah rumah dan sebuah kilang ikan di Kampung Sungai Keling, Labuan, terbakar malam tadi.

Kebakaran berlaku beberapa minit sebelum 11 malam ketika kebanyakan mangsa sedang berehat dan ingin tidur. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labuan Jason Bilin berkata tiga jentera bersama 24 anggota digegaskan ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima pada 11.02 malam dan berjaya mengawal api daripada merebak selepas kira-kira 30 minit.

Beliau berkata rumah terbabit hangus sama sekali manakala kilang pula terbakar kira-kira 10 peratus.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat. – BERNAMA

Loading...