49 Murid SK(2) Taman Keramat Keracunan Makanan

KUALA LUMPUR – Kantin Sekolah Kebangsaan (2) Taman Keramat di sini, diarahkan tutup apabila 49 murid sekolah terbabit mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas bersarapan di situ pada waktu rehat semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Khalid Ibrahim berkata sehingga kini, 22 kes telah menerima rawatan pesakit luar manakala 27 kes hanya mengalami gejala ringan dan tidak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Kesemua kes adalah stabil dan tiada kemasukan ke wad. Kejadian keracunan makanan ini adalah terkawal dan tiada kes baharu dilaporkan.

“Siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk mengenal pasti punca sebenar keracunan makanan tersebut. Sampel pengendali, makanan serta sampel persekitaran telah diambil untuk tujuan analisa makmal dan masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan kantin sekolah telah ditutup di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan satu notis di bawah Peratuan 32(1)(b), Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada pengendali makanan. – BERNAMA

Loading...