461 Gelandangan Di Anjung Singgah Sarawak

KUCHING – Sebanyak 461 gelandangan telah berdaftar di Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Satok di sini sejak mula beroperasi pada Oktober 2012 sehingga Februari tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata daripada jumlah itu , 235 orang adalah lelaki manakala baki 226 adalah perempuan.

Katanya, pusat berkenaan menyediakan kemudahan percuma kepada golongan gelandangan seperti tempat penginapan sementara, khidmat kaunseling, makanan dan bantuan kebajikan.

“Berdasarkan ‘operasi menyelamat’ yang dilakukan di sekitar di Kuching, bandar raya ini tidak ada gelandangan yang tiada tempat penginapan sebaliknya mereka datang ke sini dari luar kawasan seperti Sri Aman atau Serian untuk mencari pekerjaan.

“Daripada jumlah 461 gelandangan yang berdaftar di Anjung Singgah ini, kita berjaya bantu 262 untuk mendapat pekerjaan manakala baki penghuni yang lain telah dirujuk kepada agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya dalam sidang media di Anjung Singgah YKN Satok hari ini.

Terdahulu, Rohani meluangkan masa melawat pusat berkenaan untuk melihat keberkesanannya sebagai pusat rujukan khidmat bantuan sosial bagi golongan gelandangan.

Mengulas lanjut, katanya, selain Sarawak, empat lagi Anjung Singgah terletak di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Perak.

“Sebuah lagi Anjung Singgah iaitu di Kota Kinabalu akan diwujudkan dalam masa terdekat,” katanya. – BERNAMA