43 Penduduk Bakal Miliki Sijil Kelahiran, Kad Pengenalan

TAWAU – Penantian 43 individu di Pulau Sebatik dekat sini untuk memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan, bakal berakhir apabila dipanggil untuk proses temuduga pemberian dokumen itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Tawau hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho berkata mereka antara yang terpilih daripada lebih 100 individu terlibat dalam proses dokumentasi program pendaftaran kaunter bergerak Jabatan Pendaftaran Negara di Pulau Sebatik .

“Hari ini, kita (Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat) bawa 43 individu ini bersama saksi serta ibu bapa mereka dari Pulau Sebatik untuk proses temuduga dan kita harapkan mereka lulus sama ada untuk mendapat sijil lahir atau kad pengenalan diri.

“Penyerahan sijil kelahiran dan kad pengenalan ini dijadual disampaikan pada 8 Feb di Pusat Khidmat Sungai Tongkang, Pulau Sebatik oleh Pengarah JPN Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita di sinihari ini.

Adalah satu tanggungjawab untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah termasuk masalah pemilikan sijil kelahiran dan kad pengenalan akibat pelbagai aspek antaranya daftar lewat kelahiran, katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Muis menyangkal kononnya bantuan itu sebagai memancing undi menjelang pilihan raya umum ke-14 sebaliknya bertujuan membantu daripada amanah yang dipikul sebagai wakil rakyat.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Wallace Bay, Sebatik, Haimi Zakaria bersyukur dengan keprihatinan kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah pemilikan kad pengenalan anak lelakinya berusia 19 tahun.

“Hari ini, anak saya terlibat dalam proses temuduga bagi mendapatkan kad pengenalan diri, perkara ini berpunca apabila saya lewat mendaftarkan surat lahir anak tetapi terima kasih JPN dan Datuk Muis selaku wakil rakyat Sebatik yang berusaha membantu penduduk bermasalah sijil kelahiran dan kad pengenalan diri,” katanya.

Sangut Ismail,55, turut menzahirkan rasa syukur kerana anak perempuannya berusia 20 tahun terpilih menjalani peringkat terakhir mendapatkan kad pengenalan hari ini.

“Anak saya memiliki surat lahir tetapi sehingga kini gagal mendapatkan kad pengenalan diri dan ini berpunca daripada daftar lewat kelahiran,” katanya yang turut berterima kasih dengan kerajaan prihatin. – BERNAMA

Loading...