4 Rakan Bebas Tuduhan Culik Ahli Perniagaan

SAMBUTAN Tahun Baru Cina tahun ini lebih bermakna buat empat rakan apabila mereka dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menculik seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu hari ini terhadap Low Sing Hwa, 32, Tham Hock Ann, 39, Chong Yee Loon, 41, dan Liew Chee Wei, 39.

Hassan yang mendengar keterangan 29 saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan memutuskan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan prima facie untuk memanggil semua tertuduh membela diri atas tuduhan itu.

Semua tertuduh yang mengenakan pakaian seragam putih penjara kelihatan bersahaja semasa keputusan itu dibacakan.

Mereka didakwa bersama dua lagi yang masih bebas menculik ahli perniagaan Datuk Chin Yoke Choon, 56, bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak SGD5 juta dan RM4 juta pada 5.55 petang, 26 Disember 2016 di kawasan letak kereta Hotel Sri Manja Boutique, B2-34 Jalan IM7/1, Bandar Indera Mahkota di sini.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 3(1) Akta Perculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang merupakan pengarah eksekutif pasar raya besar, syarikat hartanah dan pembinaan dilaporkan diculik oleh sekumpulan lelaki yang berpakaian seragam polis dan menaiki ‘kereta peronda’.

Mangsa dilepaskan di Genting Sampah, dekat sini selepas 74 hari ditahan selepas keluarganya menjelaskan wang tebusan itu dalam mata wang Singapura.

Pada prosiding itu, tertuduh diwakili peguam S.Raveentharan dan Eng Yuh Pei manakala Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim mewakili pihak pendakwaan. – BERNAMA

Loading...