4 Politeknik Catat Rekod Anjur Senaman Tai Chi Terbesar

KUANTAN – Empat politeknik hari ini, mencatat nama dalam Malaysia Book Of Records apabila menganjurkan senaman Tai Chi Gong terbesar melibatkan 3,500 pelajar dan kakitangan dari institusi pengajian itu.

Empat politeknik berkenaan ialah Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Metro Kuantan, Politeknik Pagoh dan Politeknik Muadzam Shah.

Program bertemakan ‘Penyertaan Terbesar Dalam Sesi Tai Chi Gong’ itu dipimpin Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Datuk Mohlis Jaafar dan menyaksikan peserta melakukan senaman Tai Chi selama 45 minit di padang utama POLISAS di sini.

Rekod yang dicipta itu kemudiannya disahkan Pengarah Operasi Malaysia Book Of Records, Christopher H. W. Wong.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri Pahang, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata acara itu amat penting dalam usaha menggalakkan masyarakat terutama golongan muda mengamalkan gaya hidup sihat.

“Dengan program seperti ini sekurang-kurangnya ia mampu menarik orang muda untuk melakukan aktiviti sihat dan menjadi tauladan yang baik untuk diamalkan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas program itu.

Selain itu, beliau juga menyeru agar lebih ramai rakyat terutama di negeri ini melakukan ikrar mendermakan organ mereka selepas meninggal dunia bagi membantu para pesakit dan dianggarkan tidak sampai 3,000 orang berbuat demikian di Pahang. – BERNAMA

https://www.youtube.com/watch?v=P5hvODK2zW4

Loading...