4 Lelaki Cedera Ditetak Di Nibong Tebal

NIBONG TEBAL – Empat lelaki, seorang daripadanya anggota polis cedera ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di sebuah kedai di Jalan Cenderawasih 2, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Wan Hassan Wan Ahmad berkata empat lelaki memakai topeng muka menaiki dua motosikal menghampiri mangsa yang sedang minum di kedai itu kira-kira pukul 4 pagi dan meminta mereka menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit.

“Kesemua mangsa cuba melawan menyebabkan suspek menetak mereka dengan parang sebelum melarikan diri bersama wang tunai, empat telefon bimbit dan kad ATM yang semuanya bernilai RM2,500.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 26 hingga 35 tahun itu cedera di perut, belakang badan, tangan serta muka.

“Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.

Wan Hassan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Leave a Reply