33 Kilang Kitar Semula Plastik Tanpa Lesen Disita

SHAH ALAM – Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telah mengambil tindakan menyita 33 buah kilang kitar semula plastik yang dilapor beroperasi tanpa lesen di daerah Kuala Langat.

Pegawai Komunikasi Korporat MDKL, Mohamad Kamal Mohd Ramlan berkata, kesemua kilang tersebut tidak lagi beroperasi berikutan pemotongan bekalan air dan elektrik di samping penyerahan borang tempoh pengosongan kilang kepada pemilik terbabit.

“Sehingga kini, 20 buah kilang telahpun dibersihkan sepenuhnya, manakala baki 13 masih dalam proses pembersihan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 13 Februari lepas, yang memetik laporan BBC bahawa terdapat 33 kilang haram di sekitar Jenjarom, Kuala Langat berdekatan kawasan ladang kelapa sawit dan berdekatan dengan pekan.

Laporan itu turut menyatakan ramai penduduk di kawasan sekitar mengalami masalah kesihatan kesan daripada kegiatan pembuangan sampah di kawasan kilang berkenaan. – BERNAMA

Loading...