Tiga Pemandu Lori Didakwa Bunuh Seorang Buruh

TELUK INTAN – Tiga pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang buruh di Taman Sri Bernam, Hutan Melintang bulan lalu.

Tertuduh R. Paramesh, 24, S. Kalidas, 29, dan A. Govalsamy, 51, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Kesemua tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa membunuh D. Ruban, 24, antara 5.30 petang dan 8 malam pada 26 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Intan Nurul Farena menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Asyraf Abdul Rashid manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA