3 Pelajar Dikejarkan Ke Hospital Akibat Tumpahan Merkuri

GUA MUSANG – Tiga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1, di sini hari ini terpaksa dikejarkan ke Hospital Gua Musang selepas terdedah kepada tumpahan merkuri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi ini, satu unit termometer di dalam sebuah makmal di sini pecah sewaktu pelajar sedang menjalankan kajian.

Termometer tersebut dipercayai terjatuh di atas lantai sebelum pecah sehingga menyebabkan tumpahan merkuri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, seramai 10 anggotanya bersama dua jentera telah bergegas ke sekolah berkenaan selepas menerima panggilan pada pukul 8.36 pagi untuk mengawal keadaan.

Katanya, Ketua Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Hasri Hussin telah mengetuai operasi kerja-kerja membersihkan tumpahan merkuri tersebut.

“Mangsa yang terlibat adalah seorang pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki. Mereka telah dihantar ke hospital untuk tujuan pemeriksaan dan didapati selamat daripada bahaya bahan kimia itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Anuar berkata, pihak bomba segera menggunakan serbuk sulfur bagi menyekat aliran merkuri itu.

“Sisa-sisa merkuri itu telah dibersihkan dan dimasukkan ke dalam beg plastik bagi memastikan tiada sisa yang tertinggal.

“Pelajar dan guru yang terlibat tidak dibenarkan berada di sekitar makmal berkenaan sehingga kerja-kerja pembersihan terkawal. Operasi yang bermula pada 8.41 pagi itu berakhir kira-kira 40 minit kemudian,” katanya. – K! ONLINE

Loading...