‘Datuk’ Didakwa Perdaya Bayaran Pindah Milik Tanah

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk seorang yang bergelar ‘Datuk’ didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas beberapa pertuduhan memperdaya sembilan individu berhubung kos pembayaran pindah milik tanah tidak wujud yang berjumlah RM689,181 pada enam tahun lepas.

Datuk Nor Hasnal Hashmi, 49, Sayyid Walid Hasuana, 31, dan Mohd Rozali Rajiei, 48, yang kesemuanya bekas pengarah syarikat, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Nor Hasnal didakwa bagi sembilan pertuduhan, Sayyid Walid menghadapi lima pertuduhan manakala Mohd Rozali didakwa bagi empat pertuduhan.

Nor Hasnal bersama-sama Sayyid Walid didakwa memperdaya lima individu untuk mempercayai bahawa mereka akan memindah milik lima bidang tanah untuk pembinaan lima rumah kediaman kepada mangsa, yang mana tidak dilakukan mereka.

Kedua-dua lelaki itu mendorong lima mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM455,512 kepada Syarikat Masgenuine Alliance Holding Sdn Bhd sebagai pembayaran untuk kos pindah milik tanah yang tidak wujud.

Nor Hasnal turut didakwa atas empat pertuduhan bersama-sama Mohd Rozali melakukan perbuatan serupa terhadap empat individu lain sehingga mendorong kesemua mangsa itu menyerahkan wang berjumlah RM233,669 kepada Syarikat Darul Hebat Holding Sdn Bhd sebagai pembayaran untuk kos pindah milik tanah yang tidak wujud.

Mereka dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di Syarikat Masgenuine Alliance Holding Sdn Bhd dan Syarikat Darul Hebat Holding Sdn Bhd di Bandar Baru Selayang di sini antara 16 Januari 2012 dan 6 November 2015.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin mencadangkan wang jaminan RM230,000 terhadap Nor Hasnal yang menghadapi sembilan pertuduhan, RM130,000 ke atas Sayyid Walid bagi lima pertuduhan dan RM100,000 kepada Mohd Rozali bagi empat pertuduhan.

Peguam Saleh Ahmad dan Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Nor Hasnal, Sayyid Walid dan Mohd Rozali memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan ketiga-tiga tertuduh memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang ditahan reman sehingga didakwa hari ini selain bersedia dengan syarat tambahan sekiranya diperlukan.

Mahkamah kemudian membenarkan Nor Hasnal diikat jamin RM72,000, Sayyid Walid sebanyak RM48,000 dan Mohd Rozali sebanyak RM26,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran dua kali setiap bulan sehingga kes selesai dan dilarang mengganggu mangsa serta keluarga mangsa.

Hakim Rasyihah menetapkan 17 Mei untuk sebutan kes. — BERNAMA

Loading...