3 Didakwa Peroleh Saham Melalui Maklumat Sulit

KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk dua pengurus kanan bank pelaburan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan menyampaikan maklumat sulit dan memperoleh 290,000 unit saham melalui maklumat sulit, hampir 10 tahun lepas.

Ewe Lay Peng, 45, Lim Bun Hwa, 41, kedua-duanya pengurus kanan bank pelaburan dan Lim Boon Cheng, 47, perunding sambilan, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, Ewe didakwa sebagai orang dalam, telah menyampaikan kepada Bun Hwa, maklumat yang tidak boleh didapati secara umum iaitu maklumat mengenai cadangan tawaran pengambilalihan bersyarat oleh OSPL Holdings Sdn Bhd, untuk memperoleh kesemua saham undian dalam Pacificmas Berhad yang belum dimiliki oleh OSPL Holdings Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di negara ini antara 10 Dis dan 31 Dis 2007 mengikut Seksyen 188(3)(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum menurut Seksyen 188(4) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Bun Hwa pula didakwa telah memperoleh 145,000 unit saham Pacificmas Berhad melalui akaun Sistem Depositori Pusat miliknya, melalui penyampaian maklumat sulit berhubung cadangan penggabungan syarikat berkenaan yang tidak boleh didapati secara umum.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini, antara 18 Dis dan 31 Dis 2007 mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum menurut Seksyen 188(4) akta sama yang boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun dan denda minimum RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Boon Cheng didakwa atas lima pertuduhan memperoleh 145,000 saham Pacificmas Berhad melalui akaun Sistem Depositori Pusat miliknya, melalui penyampaian maklumat sulit berhubung cadangan penggabungan syarikat berkenaan yang tidak boleh didapati secara umum, di tempat dan tarikh sama, mengikut seksyen yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, Hashley Tajudin menawarkan jaminan RM300,000 bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan.

Peguam Siti Nurzafirah Mohd Padzil yang mewakili Ewe, Alex Tan mewakili Bun Hwa dan Datuk Chong Loong Men yang mewakili Boon Cheng memohon mahkamah membenarkan jaminan yang munasabah dengan alasan semua anak guam mereka menyara keluarga.

Mahkamah membenarkan Ewe dan Bun Hwa, masing-masing diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin manakala Boon Cheng diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan kepada ketiga-tiga tertuduh iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 27 April untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Loading...