3 Beranak Rentung Kereta Bertembung Treler

KUDAT – Tiga beranak rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas bertembung dengan lori treler di Kilometer 39 Jalan Kudat-Kota Kinabalu di Kampung Hobut, di sini, malam tadi.

Perjalanan pulang tiga beranak selepas menghadiri majlis perkahwinan berakhir tragedi apabila mereka rentung susulan kereta dinaiki mereka terbakar akibat bertembung.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 8.20 malam itu, dua mangsa ditemui di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, manakala seorang lagi ditemui di tempat duduk bahagian belakang.

Pemandu treler pula mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, ketika kejadian tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tambulian, dekat sini, selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Matunggong.

Ketika tiba di lokasi, kereta Proton Saga dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Kudat menuju ke Kota Kinabalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 8.26 malam, sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba membuat pemadaman sebelum mengeluarkan ketiga-tiga mangsa terbabit. Semua mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Pinawantai dan Kampung Air tamat sepenuhnya pada jam 10.46 malam. – BH ONLINE

*Sekadar Video Hiasan..