29 Mac Keputusan Inkues EIMARace 2016

KUANTAN – Keputusan inkues kematian dua beranak semasa menonton Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini akan diketahui pada 29 Mac ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Sazlina Safie menetapkan tarikh itu semasa kes disebut di hadapannya kerana Koroner Dazuki Ali yang mendengar prosiding inkues tersebut berkursus selama tiga hari bermula hari ini.

Kes itu pada asalnya dijadualkan untuk keputusan pada hari ini, selepas 20 saksi inkues selesai memberi keterangan pada prosiding yang bermula pada 11 Dis tahun lalu.

Prosiding inkues diadakan untuk mengetahui jika wujud kecuaian atau jenayah dalam kematian Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, 5, pada 11 pagi, 25 Sept 2016 yang dirempuh sebuah daripada kenderaan jenis go-kart yang mengambil bahagian.

Kenderaan itu dipercayai terbabas selepas berlaku pergeseran antara tiga go-kart pada perlumbaan terbabit yang menyebabkan Izwan mengalami kecederaan teruk di dada manakala anaknya parah di kepala.

Prosiding inkues itu dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wahida Zainal Abidin, peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur, Che Ariffin Mohd Ali (wakil keluarga mangsa), Mohd Syahril Daud (Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) Juliana Abu Bakar dan Rosmah Rosli (Majlis Perbandaran Kuantan) dan Ahmad Hazwan Hamdan (Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser). – BERNAMA

Loading...