Laos Mahu Malaysia Bantu Tingkatkan Sistem Pendidikan TVET

BANDUNG – Kerajaan Laos meminta Malaysia membantu untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan di negara itu terutamanya pendidikan vokasional dan teknikal, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, permintaan itu disampaikan kepadanya oleh Naib Menteri Pendidikan dan Sukan Laos Dr Koongsy Sengmany dalam pertemuan di sini hari ini.

Katanya, kerajaan Laos memandang Malaysia sebagai negara yang telah berjaya dalam transformasi pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan mahu berkongsi pengalaman Malaysia di negaranya.

“Mereka meminta kita melatih guru-guru, mengadakan pertukaran pelajar terutamanya dalam bidang latihan teknikal dan vokasional,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri forum ke-2 Dialog Strategik Menteri Pendidikan (SDEM), Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (Seameo) di sini hari ini.

Beliau berkata, kementerian bersedia untuk membantu dan permintaan negara itu akan dikaji dan dibincang secara mendalam di peringkat pegawai antara kedua-dua buah negara tidak lama lagi.

Terdahulu itu, ketika celahan dalam forum berkenaan, Mahdzir berkata Malaysia telah bersedia untuk membuat tranformasi pendidikan dengan menyediakan peluang pendidikan vokasional tahap tinggi.

Mahdzir berkata kementerian telah menyediakan satu platform pendidikan kepada golongan yang tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam akademik setelah berada di tingkatan tiga dan mereka boleh memasuki kolej vokasional dengan memilih kursus yang diminati.

Beliau berkata, sekolah-sekolah vokasional di Malaysia kini telah dinaik taraf menjadi kolej dan para pelajar dari tingkatan empat berpeluang menamatkan pengajian mereka sehingga di peringkat diploma.

“Di kolej itu, pelajar mengikuti kursus secara teori dan pratikal selama empat tahun dan akan bergraduan di peringkat diploma,”katanya.

Mahdzir berkata, para pelajar juga menjalani latihan industri di syarikat-syarikat perindustrian termasuk syarikat pelaburan asing di dalam negara dan kebanyakan mereka terus mendapat tawaran kerja sebaik sahaja tamat pengajian.

Katanya, selain itu, Malaysia juga mementingkan pendidikan prasekolah dengan membuka lebih banyak kelas prasekolah supaya kanak-kanak mempunyai asas membaca dan mengira di peringkat awal lagi.

Beliau berkata, jumlah kemasukan murid prasekolah juga telah meningkat sebanyak 84.2 peratus pada tahun 2014 berbanding sebanyak 81.7 peratus pada tahun 2013 dan kementeriannya yakin jumlah itu akan terus meningkat setiap tahun.

“Kita telah membuka 42,866 kelas prasekolah di 1,273 buah sekolah kerajaan dan kita juga mengalakkan syarikat-syarikat swasta membuka kelas prasekolah dengan menyediakan guru terlatih dan berkelayakan dalam diploma pendidikan dan asuhan kanak-kanak,” katanya.

Mahdzir juga berkata, Malaysia mempunyai dua strategi utama dalam pendidikan prasekolah iaitu untuk memberi kemahiran membaca dan mengira serta untuk menyediakan ruang perpaduan antara kaum di peringkat kanak-kanak lagi.

Kira-kira 100 pegawai dan Menteri Pendidikan dari negara-negara Asia Tenggara menyertai forum bagi merangka strategi dan kerjasama dalam mengembangkan agenda pendidikan di negara-negara rantau itu.

Forum sehari itu dirasmikan bersama oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia Dr Anies Baswedan dan Menteri Pendidikan Thailand merangkap Presiden Majlis Pertubuhan Dialog Strategik Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) Rapong Ratanusawang. – BERNAMA

Loading...