APMM Patah Cubaan Seludup 100 Burung Murai

PELABUHAN KLANG, 25 April (Bernama) — Aktiviti penyeludupan keluar burung murai ke Indonesia kerap berlaku berikutan permintaan tinggi dari republik itu sehingga harganya boleh mencecah RM1,000 seekor.

Malah, burung itu yang merupakan spesies hidupan liar dilindungi dan mempunyai kicauan sangat merdu, menjadi pilihan untuk dijadikan haiwan peliharaan di Indonesia.

Namun hasrat seorang tekong dan 14 awak-awak warga Indonesia untuk menyeludup keluar 100 burung murai ke Tanjong Balai, Indonesia di perairan Selangor semalam, tidak kesampaian apabila cubaan itu dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Klang.

Pengarah Maritim Daerah Klang, Kapten Mohd Rosli Abdullah berkata sebuah bot perniagaan barter yang membawa kesemua burung murai itu ditahan pihaknya kira-kira 25 batu nautika dari Pulau Indah dekat sini, pada pukul 7.20 malam ketika sedang melakukan rondaan di perairan itu.

Katanya hasil pemeriksaan dalam bot menemui 16 sangkar berisi 100 burung murai untuk diseludup keluar bagi pasaran Indonesia.

“APMM turut menemui 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk 11 wanita, berumur antara 20 dan 47 tahun yang berada dalam ruangan tersembunyi bot itu.

“Hasil soal siasat mendapati kesemua mereka membayar RM700 setiap seorang kepada tekong untuk pulang ke Indonesia,” katanya ketika ditemui pemberita di jeti Maritim Daerah Klang di sini hari ini.

Mohd Rosli berkata kesemua burung murai itu yang boleh dijual dengan harga antara RM100 dan RM1,000 seekor mengikut kualiti bagi pasaran Indonesia, akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya tangkapan melibatkan burung murai adalah kes pertama bagi APMM tahun ini.

Mohd Rosli berkata tekong dan awak-awak yang berumur antara 28 dan 47 tahun ditahan mengikut Seksyen 26 (c) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (penyeludupan manusia) 2007.

“Kesemua PATI pula disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 kerana masuk ke negara ini menerusi laluan tidak diwartakan.

“Tekong dan awak-awak turut disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katany. BERNAMA