Murid Darjah 2 Dipatuk Ular Di Rembau Stabil

REMBAU – Murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Chembong di sini yang dipatuk ular ketika mengikuti pendidikan jasmani di padang sekolah pada Rabu lalu kini berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab. Jalil berkata murid itu masih menjalani pemantauan rapi di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Beliau berkata ibu murid perempuan tersebut memaklumkan keadaan anaknya pulih seperti sedia kala, aktif serta boleh makan dan minum.

Sementara itu katanya, keadaan padang sekolah tersebut didapati bersih, tidak bersemak malah tidak dipenuhi dengan lalang.

Rusni memberitahu pemberita pihaknya telah menyebarkan maklumat berkaitan penjagaan keselamatan murid kepada guru besar dan pengetua sekolah susulan kejadian tersebut.

Beliau meminta pihak sekolah agar memberi kaunseling kepada murid berkenaan apabila dia bersekolah semula. – BERNAMA

Loading...