Pemimpin Sekolah Sentiasa Dibantu Pertingkat Kompetensi

KUALA TERENGGANU – Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid merasmikan penutupan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia kali ke-55 di sini, hari ini.

Pada majlis yang berlangsung di Hotel Primula Beach itu beliau berkata, kementerian sentiasa memberi sokongan kepada pemimpin sekolah untuk meningkatkan kompetensi kepimpinan mereka.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Residensi dan Imersif (PRime) iaitu program permentoran bagi 689 pemimpin sekolah yang baru dilantik untuk memudahkan transisi mereka dengan peranan yang bakal dipikul.

Selain itu bimbingan dan permentoran oleh Pakar Pembimbing Sekolah (SIPartner+) di bawah Program Transformasi Daerah telah memberi manfaat kepada 15,979 pemimpin sekolah yang telah dibantu oleh 323 SIPartner+bagi memimpin dan menguruskan sekolah masing-masing.

Manakala bagi pemimpin sekolah yang kurang berprestasi, mereka diberikan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (Continuous Professional Development – CPD) bagi meningkatkan kadar kompetensi. Setakat ini 18 pemimpin sekolah telah menghadiri dua program PPB dan sesi bimbingan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB).

Mah
Mahdzir Khalid meluangkan masa bertemu para pengetua selepas merasmikan penutupan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia kali ke-55, hari ini.

“Banyak penambahbaikan telah dilaksanakan kerajaan bagi mengupayakan kumpulan pentadbir dan pengurus sekolah ketika ini berbanding sewaktu saya masih menjawat jawatan sebagai Pengetua di negeri Sabah dalam tahun 80-an,” ujar Mahdzir.

Beliau yang baru pulang dari Paris bagi menghadiri mesyuarat UNESCO kemudiannya meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan para pengetua yang hadir. – MYNEWSHUB.CC

Loading...