SPR Akan Bermesyuarat Khamis Tentukan Tarikh PRN-11 Sarawak

KUCHING – Berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, 14 April, bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri ke-11.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mesyuarat akan diadakan di Dewan Muhibbah, Hotel Merdeka Palace di sini pada pukul 9.30 pagi dan akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh bagi hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya itu, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pengerusi SPR akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat itu.

Pilihan raya negeri harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 itu akan menawarkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi, tambahan 11 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini pada 2011, selaras dengan langkah persempadanan semula oleh SPR tahun lepas. – BERNAMA

Loading...