6 Nelayan Asing Diberkas Ceroboh Perairan Negara

KEMAMAN – Sebuah bot nelayan asing bersama enam krew termasuk seorang tekong diberkas ketika menangkap ikan di perairan negara, semalam.

Pengarah Maritim Pengkalan Maritim Kemaman Left Komander Mohd Marmizi Md Nor berkata kesemua nelayan warga Vietnam itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi pada jarak 70 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Katanya kesemua nelayan itu sedang leka menangkap ikan, namun sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka cuba melarikan diri tetapi gagal.

“Ketika sedang melakukan rondaan rutin Op Perkasa bersama 10 anggota, kita telah mengesan sebuah bot asing dalam keadaan mencurigakan di perairan Kemaman.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen dan permit sah untuk menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot turut menemui hasil tangkapan sotong kering dan basah seberat 50 kilogram.

Mohd Marmizi berkata susulan penahanan itu pihaknya turut merampas bot dan peralatan yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Jelasnya kesemua mereka yang berusia 18 hingga 50 tahun itu ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Jika sabit kesalahan, bot boleh dirampas manakala tekong boleh didenda sehingga RM1 juta dan awak-awak boleh didenda sehingga RM500,000. – BERNAMA

Loading...