2 Wanita Tempatan Ditahan Cuba Seludup Petrol

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak menahan dua individu termasuk seorang wanita warga tempatan selepas didapati cuba menyeludup keluar petrol ke negara jiran di Pengkalan Hulu, Gerik, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata kedua-dua suspek berumur 31 dan 44 tahun itu ditahan masing-masing bersama kereta jenis Mercedes Benz yang dipandu mereka untuk membeli petrol RON95 di sebuah stesen minyak pada kira-kira 11.45 pagi.

Katanya hasil pemerhatian dan risikan sejak dua minggu lalu mendapati beberapa kereta jenis Mercedes Benz menggunakan nombor pendaftaran tempatan sering datang ke stesen minyak tersebut bagi mendapatkan bekalan petrol RON95 dipercayai untuk dijual di negara jiran.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua individu terbabit membeli petrol RON95 di stesen minyak itu sekurang-kurangnya tiga kali pembelian sebanyak 60 hingga 70 liter sehari untuk setiap kereta dan hanya menggunakan pam yang sama.

“Semasa ditahan, sebanyak 75 liter petrol RON95 bernilai lebih RM150 serta dua kereta terbabit disita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

​Shamsul Nizam berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol atau diesel dalam kuantiti banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia manakala tangki kenderaan yang digunakan telah diubah suai.

“Hasil siasatan juga mendapati sebuah daripada kenderaan yang disita pernah diambil tindakan tahun lepas kerana disyaki membuat tangki tambahan pada kenderaan,” katanya.

Menurutnya aktiviti berkenaan dipercayai aktif sejak dua bulan lepas bagi mengaut keuntungan berikutan harga petrol di negara ini lebih rendah berbanding di Thailand iaitu RM4.14 seliter dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Nizam berkata pihaknya merampas barang kawalan petrol dengan nilai rampasan berjumlah RM23,771 bagi tempoh Januari hingga 13 Julai tahun ini.

Menurutnya pegawai penguat kuasa di seluruh negara sentiasa bersiap sedia untuk mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan tiada ketirisan subsidi daripada kerajaan berlaku.

“Kita akan menjalankan pemantauan lebih ketat ke atas kenderaan pendaftaran Malaysia bagi mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan bersubsidi terutamanya yang berhampiran dengan negara jiran,” katanya. – BERNAMA

Loading...